Tuesday 20 November 2012

Ulam-ulaman

Assalamualaikum...............
apa khabar semua?. Harap-harap dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya. Baiklah kali ini mari kita bincangkan tentang ulam. Pernahkah anda makan ulam?. Bagaimana rasanya?.

Mari kita berkenalan dengan ulam-ulaman.........





MAKSUD ULAM

Ulam merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah atau sekadar dicelur (direndam sekejap dalam air panas) sebelum dimakan bersama nasi. Ulam juga biasanya dimakan bersama dengan perasa seperti budu, cencaluk, atau sambal belacan, sebelum dimakan bersama nasi. Ulam sudah terkenal sebagai hidangan harian utama di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunga. 

ULAM TRADISIONAL

Di Malaysia lebih daripada 120 jenis tumbuhan telah dimakan sebagai ulam yang terdiri daripada pelbagai keluarga tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan tersebut terdiri daripada tumbuhan kecil dan melata jenis semusim seperti pegaga, dan sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok- pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas. Pokok jenis saka adalah pokok yang besar dan tinggi. Biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. Pokoknya boleh meninggi atau menjulang antara 20 - 30 meter. Ukuran lilit batangnya boleh menjangkau antara 2 - 5 m. 


KESUKARAN MENDAPATI ULAM

Ulam-ulam terbahagi kepada dua, iaitu kumpulan ulam yang popular dan mudah didapati di pasaran, contohnya rebung buluh, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, Ulam_Raja dan beberapa jenis ulam lagi termasuk dalam kumpulan kedua iaitu ulam yang kurang terkenal dan jarang didapati di pasaran seperti kerdas, jering, genuak, pucuk jambu golok (gajus), beluntas, pucuk betik, dan cekur. Bagaimanapun dengan adanya pasar-pasar tani dan pasar minggu yang diadakan oleh jabatan FAMA, dan lain-lain, ulam-ulam secara keseluruhan masih dapat dibeli walaupun secara terhad. 

PENGHASILAN

Secara amnya ulam tidak ditanam secara komersial. Ulam hanya ditanam secara kecil-kecilan disekitar rumah untuk dimakan sendiri atau dipetik daripada yang tumbuh meliar. Ulam yang ditanam untuk kegunaan sendirian biasanya adalah dari jenis semusim dan mudah ditanam seperti pokok Ulam Raja, selom dan kacang kelisa. Ulam yang berasal daripada pokok saka biasanya dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Antara ulam yang termasuk dalam kumpulan ini adalah jering, pucuk putat, kerdas dan rebung. Terdapat juga yang ditanam untuk kegunaan lain seprti untuk buahnya, tetapi sebahagiannya diambil untuk dimakan sebagai ulam seperti jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda dan pucuk jambu golok (gajus). 

Bagaimanapun, peningkatan permintaan yang disumbang oleh kegiatan pemasaran dan pengedaran yang lebih meluas, seperti di pasar tani dan pasar minggu telah menggalakkan para petani-petani untuk mula menanam ulam-ulam secara meluas atau komersial. 

KHASIAT ULAM

Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P), dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain. 

Ulam juga membekalkan serabut yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serabut memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus. 

KHASIAT PERUBATAN 

Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan. Sebagai contoh, pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. 

Ulam jering pula mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Selain itu juga jering boleh menjadi penawar yang berkesan pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Daun kaduk pula mempunyai kandungan kalsium yang tinggi yang diperlukan oleh badan untuk memperkuatkan tulang, dan mengelakkan daripada penyakit osteoporosis terutama dikalangan kaum wanita.



Masyarakat Melayu kaya dengan ulam-ulaman yang dimakan bersama nasi. Biasanya ulam dicicah dengan sambal belacan, budu, tempoyak dan sebagainya. Mari kita tengok beberapa jenis ulam yang biasa dimakan dan khasiatnya.
Pelbagai jenis ulam-ulaman



Sumber Rujukan:



http://drrozmey.wordpress.com/category/berita/page/438/

Posted By: Wan Nurul Izza Bt. Wan Mokhtar






No comments:

Post a Comment