Sunday, 23 December 2012

AKU ANAK KAMPUNG


Assalamu’alaikum………

Owhhhh aku anak kampong…. Tiada apa-apa……………. Lagu anak kampong terngiang-ngiang di telinga 
hehe….

Huhhhh terasa nyaman sekali berada di kampung. Sudah lama tidak pulang ke kampong, membuatkan saya sangat merindui masakan kampung  yang dimasak oleh emak. Sebelum balik kampung macam-macam dah 
rancang nak makan. Nak makan itu nak makan ini…………

Mengada-ngada sedikit hehe….. Paling saya teringin nak makan dan nak cari kepuasan adalah makan nasi bersama pelbagai jenis ulam ulaman yang segar bersama samabal belacan yang sedap. Kat Tanjong Malim asyik kena sambal belacan yang mempunyai bau belacan yang sangat-sangat kuat huhu.


DEFINISI ULAM


Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam 
pucuk ubi.

Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.



Ulam-ulaman kaya dengan vitamin dan zat galian bukan sahaja berpotensi mengubati penyakit-penyakit 
tetapi mempunyai bahan anti-bakteria dan anti-oksidan.


ULAM???? UMPHHHHH

Dahulu, ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Tetapi, kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.



Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.



Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.



Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.



KHASIAT ULAM

Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.


Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.



Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.



Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.



Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.



Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.



Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.



Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.



PESANAN PENAJA:

Jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 
'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.

Posted by: NOOR AZILA ASIH

No comments:

Post a Comment